
|
Biodata Wardina Safiyyah
Wardina adalah antara selebriti popular terkenal Malaysia. Wajahnya dikenali ramai, personalitinya cukup disenangi. Wardina dikenali dan sinonim dengan imej seorang ibu yang prihatin dan sering menjadi ikutan ramai remaja wanita dan ibu muda. Di sebalik kelembutannya, Wardina juga dikenali sebagai seorang lantang dan tegas bersuara. Wardina tidak gentar dalam membicarakan apa yang benar. Beliau merupakan seorang bekas pelakon, dan kini bertugas sebagai seorang pengacara rancangan bual bicara pagi popular di TV3 Malaysia Hari Ini. Wardina kini mencuba nasib sebagai penulis dan jualan 2 buah buku beliau pernah dicatatkan di tangga pertama jualan paling laris MPH. Wardina sedar akan kepentingan menuntut ilmu, kerana ilmu itu sesuatu yang amat tinggi nilainya. Oleh sebab itu, Wardina mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dan kini sekali lagi beliau bergelar seorang pelajar dalam jurusan psikologi. Namun, menurut Wardina kerjaya tetap yang sebenarnya adalah sebagai seorang ibu kepada 3 orang cahaya mata. Wardina bermula beraksi di hadapan kamera seawal umur 6 tahun dan pengalaman kerja membawanya mengembara ke Hong Kong, Indonesia, dan Australia. Di kemuncak popularitinya Wardina mengejutkan ramai apabila mengambil keputusan untuk memakai hijab. Walaupun ramai yang menganggap kerjayanya akan terkubur namun sebaliknya berlaku. Kini Wardina bergiat aktif menyertai pelbagai program kemasyarakatan bersama NGO, badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk bersama-sama berganding bahu, bersama sesiapa sahaja bagi mengajak masyarakat mengubah diri dan pemikiran kepada perkara-perkara yang positif dan baik. Wardina juga gemar menghabiskan masanya menyertai program-program ilmu dan agama secara tidak formal untuk memantapkan diri sebagai seorang Muslim. Antara falsafah hidup Wardina - “Untuk berjaya di dunia kita memerlukan ilmu, untuk berjaya di akhirat juga kita memerlukan ilmu, untuk berjaya dunia akhirat kita amat memerlukan ilmu”.
|











