Dosa yang sudah jadi biasa

Buang, bunuh, kelar, campak, kerat.

Yang lebih berhati perut? Letak saja si kecil di hadapan rumah orang atau masjid – moga-moga ada yang sudi menjaga. Tak sanggup membunuh mungkin? Jadi, diberilah kepada sesiapa yang bersimpati. Bayi yang suci, yang tidak ada secalit pun dosa, yang bersih umpama bidadari dibawa ke dunia ini hasil hubungan yang kotor dan jijik ibu bapanya. Dinodai dan tewas dengan pujukan syaitan dan dirasuk nafsu berahi tanpa ikatan dan akad suci perkahwinan. Yang kotor dan berdosa ibubapanya, bukan bayi itu! Nafsu yang tidak mampu dikawal akibat di’suap’nya minda dengan pelbagai cerita ‘cinta’ dan lucah. Tiada persiapan, tiada ilmu, tidak pernah dinasihati untuk takutkan Tuhan. Tidak apa berpegangan tangan! Tidak apa berpelukan dan berciuman. Sudah biasa bukan? Semua orang buat mengapa tidak kita? Soal didikan, kematangan, atau pengetahuan? Mungkin juga desakan, mungkin juga ikutan? Sogokan ada di mana-mana sahaja, depan, belakang, kanan, kiri, atas dan bawah. Hollywood, Bollywood dan Malaywood…jadi apa lagi yang harus dihairankan? Ya media! Kamu juga patut rasa bersalah dan malu. Saham kamu ada di situ! Setiap ikutan dari paparan drama, filem, majalah atau tulisan anda yang salah dari sisi agama dan kemudian diikuti oleh mana-mana anak muda yang masih terlalu mentah, maka ada sahamnya di ‘sana’ nanti.

Kasihan? Saya kasihan. Saya bersimpati apabila ada yang terpaksa menjadi mangsa nafsu yang tidak pernah kenal erti puas. Kemudian meraung sendiri ditinggalkan teman lelaki… menagih cintanya tanpa henti bak penagih dadah jalanan yang menggeletar dan kempunan. Apa yang perlu dibuat bila sudah berisi? Si lelaki yang kononnya menyintai sudah lari. Dibunuhlah bayi dari darah daging sendiri.

Tidak, buang bayi BUKAN lah satu isu yang baru. Sudah terlalu lama. Di tengah arus kemodenan di mana manusia sepatutnya lebih bijak dan cerdik kerana lebih ‘maju’, budaya jahiliyah ini tidak sama sekali menggambarkan ‘kecerdikan’ akal makhuk yang paling sempurna ciptaanNya ini. Tidak berkurangan sama sekali statistik buang bayi, tetapi makin menjadi-jadi. Teringat pesanan Rasulllah SAW yang ingin saya kongsikan. Pesanan diberikan sebelum Abdur-Rahman Ibn ‘Auf r.a dan tenteranya ke misi menawan salah satu kawasan paling jauh di tanah Arab iaitu Daumatul-Jandal. Rujukan dari buku The Noble Life of the Prophet pbuh karya Dr ‘Ali Muhammad As-Saalaabee :

“O’people beware of five things before they befall you: (1) Whenever people cheat one another in the measurement (or weight of goods they sell), Allah inflicts them with draught, and the quantity of their fruits (harvest decreases, so that perhaps they will return (to the truth and to fair business practices) (2) Whenever people break their covenant (promise), Allah gives power to their enemy over them (3) Whenever people refuse to pay Zakaat, Allah withholds them rain from the sky; and were not for beasts, no rain would have descended upon them at all. (4)Whenever Zina appears among people (becomes widespread phenomenon or is practiced openly), Allah inflicts them with plague (5) And whenever people rule by other than verses of the Quran, Allah will cause them to divide into faction, and each faction will make the other taste pain and agony at its hands” [1]

Meremang bulu roma saya membacanya. Kita sudah sedia maklum kesemua kesan dari perbuatan jahil manusia yang disebutkan itu, sudah pun dirasai.

Buang bayi menjadi satu ‘budaya’ kata sesetengah dari kita. “Budaya” merujuk kepada sesuatu cara atau ‘way of life’ yang telah ‘diterima’ atau diserap masuk oleh masyarakat. Nah, saya tanya, sudahkah budaya buang bayi diterima dan seterusnya diintegrasikan ke dalam cara dan norma masyrakat kita? Tidak sama sekali bagi saya! Tidak! Tidak! Namun lain cerita bagi anak-anak gadis kita yang sudah berzina dan hamil luar nikah ini. Amat merisaukan kerana tabiat terkutuk ini sudah menjadi ‘biasa’, dan menjadi kaedah yang amat popular sekali buat wanita yang sudah ternoda. ‘Inilah caranya’, ‘Inilah penyelesaiannya’.

Pemikiran anak-anak muda ini begitu mudah. Mengandung -> bunuh. Tak mati? Lahir -> buang.

Persoalannya, dari manakah lahirnya pemikiran seperti ini? Dari mana datangnya minda ‘rosak’ seperti ini? Adakah ianya memang lumrah semulajadi semua yang berdosa? Atau adakah pemikiran jahil ini sedikit sebanyak ‘dibentuk’? Mungkinkah kerana kaedah ‘buang’ ini begitu dipopularkan oleh media massa? Maaf, namun di sini saya terpaksa menyorot media dan bercerita tentang pentingnya institusi media yang telah terbukti oleh banyak kajian memberi kesan kepada pemikiran manusia. Contoh paling ketara adalah kajian “Bobo Doll” oleh pakar psikologi atau bapa kepada teori sosio kognitif manusia - Albert Bandura. Secara ringkasnya, Bandura membuktikan bahawa keganasan (memukul, memijak, menjerit) yang dipertontonkan dihadapan sekumpulan kanak-kanak ‘ditiru’ sepenuhnya oleh kanak-kanak tersebut. Kesan menonton ‘keganasan’ menyebabkan mereka meniru keganasan. Kesan melihat dan membaca banyak perkara maksiat dan ‘kaedah’ membuang bayi ini?

Saya tidak menafikan bahawa media memang wajar melaporkan ‘realiti’ seharian di sekeliling kita. Namun dalam masa yang sama, kita boleh mengambil iktibar dengan cara orang Yahudi yang diceritakan kepada saya oleh Imam Muda Asyraf tempoh hari. Imam Muda Asyraf bercerita tentang bagaimana masyarakat Yahudi yang kalau boleh tidak mahu langsung (jika boleh) melaporkan isu-isu ‘buruk’ dan busuk rakyatnya. Yang dijadikan suapan dan paparan utama akhbar dan media adalah kejayaan! Kejayaan anak-anak Yahudi agar muda mudi yang lain terinspirasi menjadi seperti mereka. Media mereka memberikan masyarakatnya harapan dan inspirasi. Bagaimana pula dengan media kita? Wajar difikirkan kembali. Menurut Imam muda, seorang wartawan Yahudi yang menemuramahnya menjadi musykil tentang mengapa media di sini terlalu gemar melaporkan berita-berita negatif. Kalau ditanya media atau ahli filem yang ghairah memberi kita santapan perkara begini, mudah saja, “Kerana itulah PERMINTAAN”. Jadi itulah yang akan diBERI kerana itulah yang akan diBELI. Mudah, semuanya mengenai persoalan untung dan rugi. Tanggungjawab atau ‘kasih’ kepada masyarakat yang sememangnya sudah luntur nilai-nilai moral mungkin boleh diletak tepi? Atau lakukan sipi-sipi, sekali-sekali. Kerana akhirnya, RM lah yang lebih penting iaitu transaksi jual beli.

Zina bermula kerana TIDAK menjaga mata, kita disajikan dengan wanita yang seksi seperti Angelina Jolie setiap hari. Lihat saja lambakkan majalah yang ada. Pilihan muka depan? Semestinya wanita yang paling kurang kainnya, untuk apa? Untuk tarikan supaya orang memBELI! Sekali lagi, untung dan rugi. Tanpa rasa bersalah para editor dan wartawan Melayu Muslim mengeksploitasi wanita (yang juga rela dieksploitasi untuk glamour dan nama) tanpa menghiraukan dosa dan pahala. Dia dikau wahai para Ulama'? Mengapa berdiam diri dan sepi?

Bulat-bulat ramai meniru cara hidup dan budaya masyarakat Barat. Aduh! Teknologi dan ilmu dari mereka yang sebenarnya lebih wajar ditiru. Meniru pakaian sahaja, gaya sahaja, namun itu sudah menjadikan kita cukup moden dan maju? Hollywood di ‘Malay’-wood kan dan pakaian seperti Angelina adalah ukuran kemodenan seseorang. Kita dipaparkan dengan filem orang Melayu Islam yang berpegang tangan dan berpelukan. Ada konflik di situ. Jika naskah dari Hollywood maka fahamlah kita ianya tidak menjadi isu kerana mereka tiada garis dan batas. Bebas! Apa saja boleh bukan? Namun apabila ditiru, oleh pelakon ala Barat kita, yang hakikatnya Melayu Muslim, maka ianya amat merunsingkan. “Orang Islam pun boleh”. “Tak salah, tak berdosa”. Secara tidak sedar, sebagaimana teori Bandura ‘gambaran’ ini melekat di kepala dan ditiru satu hari kemudiannya oleh anak-anak kita.

Zina disusuli dengan permulaan yang sangat simple iaitu? Ya, berpegang tangan, dari situ seterusnya berpelukanlah pasangan ‘kekasih’ ini. Setelah berpelukan, berciuman dan ketika nafsu sudah berada dikemuncaknya, maka zina yang lagi hina pun terjadi. Apa dihairankan? Kerana sudah disogok kepada anak-anak muda gambaran ‘bebas’ Hollywood. Kalau tak ikut, KOLOT! Itulah buktinya cinta, bukan? Bersama berdua bermadu asmara? TIDAK! TIDAK! Ianya TIDAK normal! Cinta yang suci adalah cinta yang TIDAK disusuli dengan berpegang tangan, berciuman dan zina. Seorang lelaki yang benar-benar menyayangi seorang wanita TIDAK akan menyentuhnya sebelum nikah. Tak sanggup dia mengorbankan kesucian bakal isterinya iaitu bakal ibu kepada anak-anaknya. Tidak mahu dia menyentuh walau hatta jari gadis yang dicintai. Itulah cinta agung. YA, saya ulangi lagi, lelaki yang menyentuhmu sebelum nikah TIDAK menyintai kamu tetapi menghina kamu!

Cinta sejati tidak merosakkan sama sekali! Bayangkan saat indah tatkala pertama kali bersentuh selepas nikah, alangkah istimewanya saat itu! Apa yang istimewanya apabila aurat sudah dibuka, tiada lagi getar melihat keindahan rambut ikal isteri yang belum pernah langsung dilihat ini? Saat menguraikan rambut dari tudung kepala buat kali pertama. Berdebar-debar perasaan dara dan teruna! Aduh indahnya! Sekarang tiada kejutan lagi, kerana tubuh sudah ditatap, diratap dan disentuh. Tidak perlu bernikah pun semuanya sudah diberi, free of charge lagi. Sayangnya, satu penghinaan yang amat besar bukan sahaja buat wanita tetapi kepada institusi kekeluargaan dan perkahwinan.

Usah dibicarakan nasib bayi yang dibunuh itu kerana InsyaAllah mereka sudah tentunya berada di Jannatul-Firdaus. Fikirkan kesan kepada ibunya, yang sebenarnya tidak sama sekali menyelesaikan masalah yang dihadapinya setelah membuang bayi mereka. Kononnya selepas sudah buang, selesailah semuanya? Akibat berfikiran pendeklah mereka terjebak dengan zina dan akibat berfikiran pendek jugalah mereka membuang bayi dan merasakan mereka boleh 'mencuci tangan' setelah itu. Anak-anak kita dewasa ini, TIDAK diajar memikirkan kesan perbuatan mereka dan tidak diajar berfikir panjang. Anak-anak kita memang kurang diajar berfikir! Semua fakta hafal saja. Dapat A, mereka digelar ‘bijak pandai’ dan dijulang. Nah inilah hasilnya!

Mungkin juga, antara sebab terus berpanjangan adalah kerana yang dipaparkan kini cuma berita bayi yang dibuang, tiada pula susulan hebahan kesan fisiologi dan psikologi buruk yang terpaksa si ibu tadi hadapi, setelah pembuangan darah dagingnya dilakukan. Masalah kesihatan seperti infeksi, pendarahan dan emosi yang tidak stabil akan menghantui mereka. Ke mana harus mereka pergi? Kesan fisiologi mungkin boleh dipulihkan tapi kesan emosi psikologi yang sering murung, marah, bersalah dan berdosa akan memberi kesan yang besar kepada tingkahlaku dan seterusnya masa depan wanita tersebut. Jika tidak mendapatkan bantuan, maka, ada yang terus menerus hidup dengan maksiat dan dosa, merasakan diri sudah tidak berguna. Tiada jalan keluar yang mereka nampak akibat dari masyarakat yang hanya tahu menghukum tetapi tidak pernah langsung mahu membantu ‘mencegah’ gejala ini bersama. Yang ada cuma umpatan, kutukan, hinaan dan makian.

Ingin saya bawakan satu petikan terjemahan ayat Quran yang sering membuat saya sebak.

"Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan kebajikan; maka kejahatan mereka akan diganti Allah dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang". (25:70)
"Dan barangsiapa bertaubat dan mengerjakan kebajikan, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya". (25:71)

Diulang dua kali di dalam Surah Furqan, tentang bagaimana manusia yang pertama (1) - Bertaubat dan kedua (2) - mengerjakan kebajikan akan diampuni dosanya oleh Allah yang Maha Penyayang dan Pengampun. Kerana Allah itu, Al-Ghaffur dan Ar-Rahim. Dan tidak cukup dengan itu, segala kejahatannya diganti pula dengan kebaikan. Seolah nya ditekan delete button kerana seseorang itu bertaubat. Maka jangan dipandang hina mereka yang pernah berdosa.

Ingin saya bawakan perhatian anda kepada program seperti kempen ABJZ atau Anda Bijak Jauhi Zina oleh Raudatus Sakinah satu rumah pemulihan, bimbingan dan perlindungan bagi ramai wanita yang ingin memulakan hidup yang baru. Kempen seperti inilah yang wajar diberikan sepenuh sokongan oleh kita. Alangkah sedihnya apabila gejala in berleluasa, nyanyian oleh artis pula dijadikan bahan kempen. Menangis saya melihatnya. Benar ada masanya kita perlu menyanyi, kerana muzik dan lagu punya pengaruh yang tersendiri. Namun ada masanya kaedah lain perlu difikirkan. Bukan semua kempen perlukan lagu! Asal sebut apa saja kempen di Malaysia ini, pasti ianya disusuli lagu dan nyanyian oleh artis. Benarkah ada kesan kepada perubahan sikap masyarakat? Nah, adik-adik di universiti tolong lakukan satu kajian. Mengapa simplistiknya pemikiran kita ini. Adakah ‘nyanyian’ oleh para artis yang sendiri tidak memberi contoh yang baik kerana sering dilihat berpegang tangan dan berpelukan dengan bukan mahram (dan kita sedia maklum zina bermula dari situ) akan membantu memberi “kesedaran”? Lebih baik diterangkan atau dilakukan kempen dengan tazkirah pendek oleh para Dai’ atau dihidangkan dengan ayat-ayat Quran. Elok juga diberikan pengakuan mangsa zina yang sudah bertaubat (namun bukan dengan cara cliché pengakuan seperti yang sering kita lihat sebelum ini).

Oh media! Oh artis! Oh lelaki! Oh Wanita! Oh ibu bapa! Oh SEMUA! Jangan lagi tutup sebelah mata, kerana kita semua mempunyai peranan tersendiri membendung penyakit moral yang sudah sampai kepada tahap kecemasan ini. Dan bukan seperti golongan liberal yang penyelesaiannya cuma menghunus kondom, kita perlu menutup semampunya, bergandingan bahu segala lubang-lubang yang menggalakkan kepada zina. Dan jika tidak mampu menutup semua lubang tersebut, maka berikan ilmu dan didikan untuk memperkasakan anak-anak kita agar mereka mampu dan kuat untuk berkata TIDAK kepada zina dan segala perbuatan yang mengundangnya!

Pertama sekali, mari kita terangkan pada anak-anak “cinta” yang bersih dan suci lahir dari keperibadian yang tinggi – iaitu tidak membiarkan atau merelakan sentuhan sebelum diikat tali pernikahan. Cinta TANPA berpegang tangan dan zina. Ajarkan anak lelaki menghormati diri dan anggota yang dianugerahkan Allah seperti mata dengan tidak menonton porno tetapi menggunakannya untuk melihat perkara-perkara baik. Ajarkanlah mereka untuk menghormati wanita dengan tidak menyentuhnya dan ajarkan anak gadis kita untuk menjaga maruah dirinya dengan TIDAK membenarkan lelaki menyentuh mereka! Cukuplah sogokan media yang mempamerkan adegan menyentuh, berpeluk di antara bukan mahram. Tolonglah, bantulah masyarakat MELAYU Islam yang sudah tenat ini! Wallahu’alam.

 

[1] Refer to Nasbur-Raayah by Az-Zayla'ee, (Kitab As-Sulh) and to Kanzul'Ammaal by Al-Muttaqee Al-Hindee (Ba'ad 'Abdur-Rahman)

AddThis Social Bookmark Button
 

Semua Komen 

 
0 #7 berkongsi ceritanur 2012-02-29 10:43
:sad: bile tgk org bung baby ni rasa sdh sgt.....tp skang tgh kliru samada nak gugur kan @ trus kan anak dlm kandungan yg tidak berbapa ini....ble x gugur kan klak akan timbul pbagai masaalah... :cry:
Quote
 
 
+1 #6 Bantulah anak2 remaja..jauhi zinaUmmu Insyirah 2012-01-18 16:52
Saya amat bersetuju dengan apa yang Dina tuliskan diatas. Sedih bila mengenag generasi yang akan memimpim pada masa akan datang berada dalam keadaan tenat. Kita bimbang kelak generasi yang memimpim ini terdiri dari mereka yang tidak takut hukum-hukum ALLAH, yang menjadikan akal dan nafsu sebagai ikutan.Kita perlu sama2 mewujudkan suasana persekitaran yang baik utk mereka, perkara2 yg positif,drama2 yang mempunyai nilai mulia yang tinggi. Cukupklah kita menyogokkan mereka dengan budaya barat, sukakann hendonisme, memnjadi kan artis yg tekinja sebagai idola, menjyediakan majalah picisan sebagai bacaan minda. Cukuplah...ibu2 dan bapa2 sekelian cubalah kita membaiki diri kita, dan kita sama2 bentuk anak kita sebaimana yg di tuntut syariat Insyaallah, masyarakat kita akan menjadi baik dan setrusnya akan lahir pemimpin yang takutkan ALLAh yang menjadikan AlQuran dan Al sunnah sebagai perlembagaan,sa ma2 kita bina Daurah Islamiyyah.Jom!kita bantu mereka.
Quote
 
 
+4 #5 RE: Dosa yang sudah jadi biasamar 2012-01-09 23:29
assalamualaaiku m..
maaf jika kata-kataku menjadi tidak senang di hati kak wardina..
serba sedikit saya mengikuti perkembangan akk. tapi cuma satu yang masih kekal dan insya allah sy tahu akk akn lebih baik dari itu..harap dapat kurangkan make up.hanya cukup bedak asas sudah cukup cantik kak.dina...
maaf sekali lagi, walau diluar akk sudah tidak bermake up tapi di gmbr2 terpmpg wajah akk berseri2..atau mgkin sy yg terslh agp bhwa akk xguna make up..
saya mmg suka wjah asli tanpa make up. lagi2 artis dan idola remaja skg..itu mennjukkn anda ada hati yg jujur dan tulus..sbb tahu2 je lh akhir2 ni mcm2 org blh pkr bila tgk wajah prmpn ni..dan skg juga berhias2 menjadi kebiasaan wanita bila berada diluar berbanding dihadapan mahramnya..wallahualam..hrp tidak kecil hati..i love my sister in islam
wassalam..
Quote
 
 
0 #4 dosa yang tlah jadi biasalydia miza 2012-01-05 20:39
sedih...semakin menjadi2 kes ni.jika dulu dibuang hidup2.sekarang dibunuh sebelum dibuang.makin kejam dan tak berperikemanusi aan.
Quote
 
 
+1 #3 bermula dari bawahpakmat 2011-12-27 18:31
hakikatnya, masalah ini dan banyak lagi masalah sosial yg lain perlu ditangani dari akar umbinya lagi.
perlu bermula dengan pembentukan individu muslim yang faham akan tatatertib hidup yang hanya berpaksikan Al quran dan as sunnah..
dengan tebntuk individu muslim , saya yakin penyelesaian dan usaha di peringkat yang lebih global menjadi sangat mudah dan berkesan..

bagaimana mahu membentuk individu muslim? inilah yang menjadi masalah, kalau keluarga sendiri tidak memahami islam secara betulnya. jadi tinggal tanggujawab ini pada para2 da'i yg sedar..

wallahualam
Quote
 
 
+1 #2 RE: Dosa yang sudah jadi biasaniknurul 2011-12-27 00:26
Golongan artis yg ptt d didik.bepakaian mcm xcukup kain.filem2 melayu xde lngsug ciri islam.cth aku bkn tomboy..knp watak penkid harus wujud?sbb kt mlsia berlambk golong penkid.so bila dah wujudkn watak tu mean penkid lg byk yg la.statistik buang bayi mmg megejutkn tp pihak bewjib x mainkn peranan.cth flm indon.bkn nk bggkn flm indon.tp bila jln cerita nya brlandakn islm para pelakon menutup aurt n xde pn yg pgng tgn n brsntuhan.isu cd lucah..dh thu kdai yg jual tp xde tindkan...pihak brwajib xpnh nk jlnknn tugs.laksanakn hukum yg tlah d tetapkn olh Allah.nescaya xde zina.xde ank haram.tp persendakn hukum Allah..rnungkn mane slpnya
Quote
 
 
+1 #1 berkongsi cerita..syaimaa 2011-12-23 22:23
rasa sedih tgk gmbr2 bayi yg dibuang di sana sini umpama sampah.. pernah berkenalan dgn seorg rakyat myanmar(rohingg a) 4 tahun lepas, melihat sampah sarap di negara kita yg bertimbun membuatkan dia menangis.. bila di tanya kenapa.Wanita yang bernama Fatimah itu menjawab,di negaranya mayat bayi2 dan kanak2 berlonggokkan spt sampah kerana tidak cukup duit dan makanan utk di beri kpd anak2 tersebut.. Susah nk jmpa longgokkan sampah di negara mrk kerana kedaifan hidup.. tp di negara kita terbalik pula.. Berubalah wahai kaum hawa muslim...
Quote
 
Your ad here
Your ad here
Pusat Rawatan Al-Abyad
One Heart Creative Solution
By steps to Muslimah
Brotherhood Arts
  • 25
    Dec

    Workshop Twins of Faith
    SISTERS ONLY
    . "Struggling to become a better Muslimah Everyday"

  • 12
    Nov

    Kem Sinergi Keluarga Bahagia bersama Ustaz Hasrizal & Tuan Fazrul

  • 14
    Nov

    Emcee @ PNB

  • 17
    Nov

    Kempen Membaca

Wardina VLog

Saksikan video-video terkini Wardina

Video-video Wardina membicarakan isu-isu mengenai perkembangan diri, anak-anak, keluarga dan lain-lain lagi.

Tonton Video