Berfikirlah!

Adik-adik tersayang! Alhamdulillah kita bersua lagi.Kalau saya bertanyakan satu soalan kepada adik-adik. Siapa dia yang paling ‘pandai’, bijak, cemerlang di sekolah anda? Ya….selalunya jawapannya ialah yang berderet ‘A’ nya. Yang serba serbi ‘A’. Persoalannya benarkah hanya yang berderet A itu pandai dan cemerlang? Dan benarkah yang berderet A itu akan berjaya dimasa depan?

Apa dia sebenarnya maksud bijak dan cerdik? Apakah ianya memang diukur dengan A semata? Maaf, namun saya tidak boleh bersetuju. Mendapat A sememangnya menunjukkan bahawa si pemegang A ini mempunyai ‘sikap’ yang betul iaitu dia belajar, ingat apa yang dihafal dan rajin. Tetapi ingin saya ingatkan, abad ke 21 ini kalau inginkan kejayaan ianya bukanlah ditentukan oleh berapa banyak A ‘sahaja’, bukan dengan berapa banyak fakta yang dihafal semata. Berapa ramai di antara adik-adik yang cuma ‘pandai’ manghafal tetapi tidak FAHAM apa yang dihafal!? Yang cuma menghafal seluruh buku teks tetapi tidak faham konteks yang sebenarnya. Tidak tahu menahu pandangan lain selain dari apa yang tertulis didalam buku. Berapa ramai diantara kita tidak dapat membuat analisa dan mengeluarkan pendapat sendiri? Berapa ramai diantara kita apabila jawapan yang diberi bebeza dari buku teks kita terus berkata jawapan itu ‘salah’ kerana buku teks kata lain. Aduh! Di manakah kemampuan kita untuk berfikir? Cerdik bukanlah bererti “hanya” apabila seorang murid dapat mengingati semua fakta yang diajarkan kepadanya. Itu dah jadi robot atau pita rakaman suara – cuma ‘pandai’ mengulang fakta sahaja. Cerdik bukanlah bererti menurut apa yang ditulis dalam buku semata. Ingat ya…ramai orang boleh menghafal! Tetapi tidak semua dapat dan mampu ‘berfikir’ - berfikir secara kreatif, kritis dan analitis apabila mengutarakan pendapat sendiri. Bukan pendapat orang lain.

Mari Kak Dina bertanya satu soalan untuk refleksi diri. Adakah adik jenis orang yang tidak pandai memberi pendapat sendiri? Atau pendapat adik selalunya sama sahaja atau ‘skema’ semata? Hmmmm…adik-adik mulai hari ini perlu ubah sikap itu. Ya walau dalam agama! Berapa banyak diantara kita yang cuma mengikut dan menurut. “Ustaz tu kata….” Apakah kita tidak boleh menyoal apa yang disampaikan oleh Ustaz? Apakah kita tidak boleh bertanya? Jangan tersilap ya adik-adik, agama Islam adalah agama yang SANGAT menggalakkan penganutnya untuk berfikir dan bertanya. Mungkin disinilah silapnya budaya kita yang gemar menyuruh kita SENYAP dan “Jangan banyak tanya!” Kalau Ustaz, guru atau ibu bapa apakah mereka mesti betul semuanya? Tidak sama sekali! Mereka juga boleh salah dan silap. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menerima pendapat para sahabatnya.

Pemikiran kritis atau critical thinking amat perlu ditanam semula dalam diri kita sekiranya kita mahu berjaya. Agama Islam adalah agama untuk mereka yang “berfikir”, kerana itulah umat Islam dahulu mampu membina empayar, mampu menjadi pencipta, saintis, penulis, pakar matematik, astronomi perubatan dan sebagainya. Kerana mereka gemar BERFIKIR! Umat Islam sekarang? Aduh, kebanyakan cuma MENGIKUT tanpa banyak berfikir. Itulah masalahnya. Disitulah antara puncanya kelemahan Islam! Malangnya di kebanyakan sekolah juga “berfikir” seolah-olah tidak digalakkan. Soalan yang ditanya cuma mengikut jawapan dalam buku teks semata.

Kenapa saya katakan agama Islam itu agama yang berfikir? Kerana terlalu banyak ayat di dalam Al-Quran yang menyuruh kita berfikir! Betapa banyak ayat Quran yang bertanya kepada kita, “Apakah kamu tdak berfikir?” “Apakah kamu tidak melihat.?” Sewaktu pembentangan kertas kerja Quranic Thinking Skills, di KLCC Convention Centre tidak lama dulu, penceramah mengaskan bahawa “berfikir” amat ditekankan di dalam Quran. LIhat sahaja Surah Ar-Rahman. 15 soalan dalam satu ayat. Di dalam Al-Quran sendiri ada 1200 ayat persoalan. Banyak terminalogi mengenai berfikir seperti tafakur, tadabbur, tafaqquh, ta’aqul dan seumpamanya. Kata penceramah “Befikir adalah diet spiritual manusia, ianya menyembuhkan masalah minda” Adik-adik, teringat kata naqibah Kak Dina yang disayangi, lihat sahajalah ayat 260 dalam surah Al-Baqarah. Dimana Nabi Ibrahim a.s bertanya kepada Allah untuk menunjukkan bagaimana Allah menghidupkan orang mati. Allah bertanya kembali pada Nabi Ibrahim. “Belum percayakah engkau?” Nabi Ibrahim menjawab “Aku percaya, tetapi agar hatiku menjadi tenang mantap.” Nabi bertanya kepada Tuhannya. Jadi apa lah salahnya kalau kita bertanya kepada guru, ibu bapa dan Ustaz agar hati ini yakin dengan ilmu yang disampaikan. Mulai hari ini, banyaklah bertanya!

Berfikir bermula dengan bertanya. Lihatlah bagaimana sahabat-sahabat Rasulllah SAW gemar bertanya. Mereka bertanya bermacam dan sejuta satu soalan kepada baginda! Tanpa pertanyaan minda kita tidak digerakkan untuk berfikir. Macamana Kak Dina mula mengubah diri? Antara salah satu sebabnya kerana Kak Dina bertanya… bertanya soalan pada diri. “Apa nak jadi dengan aku?” “Siapa aku?” Ha itulah soalan paling mudah ditanya tetapi paling sukar untuk dijawab. Sekarang latihannya adalah untuk adik-adik bertanya pada diri adik sendiri . Tolong jawab soalan berikut :

1. Siapa saya sebenarnya?

2. Apa kelebihan saya?

3. Apa misi saya?

4. Apa prinsip hidup saya?

 

Tuliskan dan sekiranya belum mendapat jawapannya maka mulalah satu pengembaraan untuk mencari jawapan kepada persoalan ini. Ingat ya, jawapan jangan skema, biar kreatif…menarik..tertarik…

Baik, Kak Dina mahu bertanya kepada adik-adik…. Kenapa agaknya kita kurang berfikir kini? Kenapa umat Islam dahulu hebat dalam pemikiran tetapi umat Islam kini lemah lagi dhaif. Adik-adik cuba tengok Negara Islamlah antara negara paling mundur, kotor dan ketinggalan serba serbi. Ini memang hakikat yang pahit untuk ditelan. Kita sekarang hilang fokus akibat disibukkan dan dilalikan dengan hiburan, teknologi sehinggakan ianya merompak masa kita untuk bertafakkur, berfikir dan bermuhasabah.

Kak Dina akhiri dengan satu lagi persoalan. Untuk berjaya dimasa depan. Iaitu pada abad yang ke 21 yang mencabar ini. Apa dia sebenarnya yang diperlukan?

Cuba fikirkan kata-kata ini. “Pada abad ke 21, mereka yang kreatif dalam menyelesaikan masalah, pemikir yang merdeka, mereka yang bijak bergaul akan mendahului mereka yang cuma pandai memberi jawapan yang betul… mereka yang akan memberikan sumbangan yang berguna kepada masyarakat bukan sekadar mencari jawapan yang tepat, tetapi mencari lebih daripada persoalan yang sedia ada”- Pasek, K. H. et al (2003)

Selamat bersoal, berfikir dan berfikir semua!

p/s : Tulisan ini disiarkan di dalam majalah Gen-Q

AddThis Social Bookmark Button
 

Semua Komen  

 
0 # subhanallah...hanif abdul karim 2012-11-04 13:46
ada lebih dari 100 (lebih lagi mungkin, tak dapat nak kira semua...) yang menyuruh kita berfikir...

jom berfikir, mari menjadi pemikir islam :)
Quote
 
 
-1 # tigapersembilan .comFuza Marquis 2012-11-06 16:19
Pendapat saya, yes. orang yang pandai adalah yang dapat straight As but with extra achievement. Mesti ada sikap kendiri yang betul tentang konsep belajar yang tak fokus kepada sistem akademik biasa.

Saya jumpa ramai yang cemerlang dalam peperiksaan, tinggi sahsiah budi dan cemerlang dalam hal-hal lain (projek/muzik/aktiviti sukarelawan).

Jadi, elok kita galakkan generasi muda dapat straight As dan tingkatkan nilai tambah dalam aspek lain.

Sebab dikhuatiri if kita asyik tentang konsep dapat straight A, lama-lama nanti ramai yang ambil lewa belajar pula.
Quote
 
 
0 # RE: Berfikirlah!kimekidal 2012-11-06 19:07
bila xberfikir perkara yang menyeronokkan, hidup jdi lebh bosan. mcam tu jgak blaja. diri selalu mencri2 perkara baru yg menyeronokkan untuk blaja. rasa bosan blaja kadang2 dtg sbb rasa kurg pengisisan.
Quote
 
 
+2 # BERFIKIRLAHNur Syafiqah Azmi 2012-11-28 01:05
Betul apa yang Kak Dina katakan..kerana pada abad ini terlalu ramai pelajar yang berjaya dalam peperiksaan seperti UPSR , PMR dan SPM namun mereka gagal dalam pemikiran idea yang lebih kreatif dan kritis...Tanpa berfikir kita diibaratkan seperti burung kakaktua...

so NOW...THINKING ! THINKING ! AND THINKING ! :-)
Quote
 
 
-1 # RE: Berfikirlah!serena 2012-11-28 09:42
betul, kita digalakkan berfikir, tp kdg2 bila byk berfikir...dh mengarut2 pulak perginyer..

cuba tgk org2 yg bijak pandai, fikir byk sgt, sampai mengong, jd org x betul sudahnyer.

so, cm mana tu Kak Dina?
Quote
 
 
-1 # Berfikir lahDiana 2013-02-19 12:02
btl 2 kak dina,memang sejak sekolah kita hanya ikut ape yang di ajar. tapi, saya sangat yakin, semua pelajar ade pelbagai persoalan yang ingin di tanya. Namun mereka sangat takut jika soalan mereka itu dikatakan "soalan bodoh". jadi, ape pandangan kak dina?
Quote
 
 
-1 # RE: Berfikirlah!rina 2013-04-16 18:50
memang btul straight A tu x penting sgt, tp sistem nk dptkan kerja di malaysia memang mementingkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum. dan juga kalau student nak further study di mrsm, atau di universiti2 yg bgs2, memerlukan result yg baik..
Quote
 
 
0 # -Mohammad Nazirul Bin Hisham 2013-08-26 15:09
Assalamualaikum kak mntk izin utk dicopy articel ini.
Quote
 
 
0 # RE: Berfikirlah!Mohammad Nazirul Bin Hisham 2013-08-26 15:10
:lol: assalamualaikum kak mntk izin utk dicopy articel ini.
Quote
 
  • 25
    Dec

    Workshop Twins of Faith
    SISTERS ONLY
    . "Struggling to become a better Muslimah Everyday"

  • 12
    Nov

    Kem Sinergi Keluarga Bahagia bersama Ustaz Hasrizal & Tuan Fazrul

  • 14
    Nov

    Emcee @ PNB

  • 17
    Nov

    Kempen Membaca

Wardina VLog

Saksikan video-video terkini Wardina

Video-video Wardina membicarakan isu-isu mengenai perkembangan diri, anak-anak, keluarga dan lain-lain lagi.

Tonton Video